Seindah keluarga dalam Islam

Membina Keluarga Bahagia Dengan Mengamalkan Ilmu Dan Ajaran Islam.

Seindah Tazkirah

Peringatan Buat Diri Yang Lemah, Jadikan Hari Ini Lebih Baik Daripada Semalam.

Seindah Ibadah Untuk Diamalkan

Biarkan Ibadahmu Menjadi Rahsia Seperti Kamu Merahsiakan Dosa-Dosamu. .

Seindah Wanita Solehah

Dunia Adalah Perhiasan Dan Seindah-Indah Perhiasan Adalah Wanita Solehah.

Seindah Tentang Rasulullah SAW

Kekasih Hati Yang Dirindui.

Seindah Sumber Inspirasi Penentu Kejayaan

Kenali Insan Yang boleh Memberi Motivasi Untuk Kita Lebih Maju Dalam Kehidupan.

Wednesday, October 30, 2019

Definisi Al-Quran Dari Sudut Istilah


Para ulama memberikan beberapa pandangan mengenai takrifan al-Quran. Antaranya ialah:
"Ia merupakan kalam Allah سبحانه وتعالى yang diturunkan ke atas nabi Muhammad . Lafaznya adalah mukjizat, mendapat ganjaran apabila membacanya, ditulis di dalam kitab-kitab (mashaf-mashaf), diriwayatkan secara bersambung sanadnya (mutawatir)."
1. Kalam
Satu kata nama yang meliputi seluruh perkataan, dan disandarkan khusus kepada Allah ta'ala. Maksudnya, ia tidak termaksud untuk perkataan-perkataan yang disandarkan kepada selain Allah.

2. Al-Munazzal
Bermaksud al-Quran yang diturunkan adalah secara khusus ke atas Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Manakala kitab-kitab agama yang lain seperti Taurat, Zabur dan Injil tidak termasuk di dalam takrifan perkataan ini.

3. Al-Mukjiz bi Lafzihi

Bermaksud lafaz-lafaz yang terdapat di dalam kitab-kitab yang terdahulu, hadis-hadis Qudsi adalah tidak dikira mukjizat, kerana ia tidak terlindung daripada diubah dan dipesongkan kandungannya. Namun begitu, al-Quran sentiasa dilindungi oleh Allah sehingga hari kiamat.


4. Al-Muta'abbad bi Tilawah
Bermaksud ganjaran bacaan yang dikurniakan oleh Allah untuk Qiraat yang mutawatir. Maksudnya, bagi Qiraat yang Ahad dan hadis-hadis Qudsi tidak akan mendatangkan ganjaran daripada Allah sekiranya kita membacanya.

5. Al-Maktub fi al Mashaf
Bermaksud bahawa setiap lafaz al-Quran ditulis di dalam satu mashaf atau kitab yang boleh dibaca dan ditatap. Manakala, ayat-ayat yang dimansuhkan oleh Allah tidak dinamakan ayat al-Quran kerana ianya tidak lagi dibaca dan ditulis di dalam kitab Mashaf.

6. Al-Manquul bi al-Tawaatur
Bermaksud bahawa al-Quran diriwayatkan secara mutawatir dan bersambung kepada Nabi ﷺ dengan sempurna. Manakala, bacaan seperti Qiraat yang Ahad, dan tidak sempurna atau cacat, tidaklah dinamakan al-Quran kerana ianya tidak bersambung sanadnya (mutawatir) dan diriwayatkan dengan jalan yang lemah dan tidak sempurna.

Monday, October 13, 2014

Tuntutan Taubat

Daripada Abu Hurairah ra katanya : “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Demi Allah sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadanya di dalam sehari lebih daripada 70 kali.” Riwayat Bukhari

Huraian Hadith: 

1.    Rasulullah S.A.W menggalakkan umatnya supaya banyak beristighfar dan bertaubat, kerana baginda S.A.W sendiri walaupun tidak berdosa dan merupakan hamba pilihan, baginda bertaubat lebih dari 70 kali sehari.

2.    Setiap individu yang Melakukan dosa samada dosa kecil atau besar wajiblah bertaubat supaya diampunkan dosa dan tidak berterusan melakukan perbuatan dosa itu.    

3.    Bertaubat dan beristighfar secara berterusan akan menghapuskan dosa yang dilakukan secara tidak disedari.

4.    Sebagai hamba Allah kita hendaklah bertaubat dengan mengikut syarat-syarat taubat seperti berikut:

i)                    Berazam dan bertekad untuk meninggalkan (tidak akan mengulangi lagi) perbuatan dosa yang telah dilakukan.
ii)                  Kesal (menyesali) dan berduka di dalam hati terhadap perbuatan dosa yang dibuat.
iii)                Bersegera meninggalkan dosa yang telah dilakukan semata-mata kerana Allah.
iv)                Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan orang lain, syaratnya ia wajib membebaskan dirinya dari hak yang bukan miliknya untuk dikembalikan kepada yang berhak atau minta dihalalkan, ini bererti jika berupa harta benda wajib dikembalikan. Jika berupa fitnah, ghibah (umpatan), penghinaan, cacian, kutukan, laknat dan kezaliman, maka wajib meminta maaf daripada orang tersebut terutama terhadap kezaliman yang dilakukan kepadanya.

Monday, September 29, 2014

Berpuasa Pada Hari Arafah

Diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a. bahawa Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang." (Riwayat Muslim)

Huraian Hadis:

1. 10 Zulhijah bakal menggamit lagi menandakan ketibaan Aidiladha bersama-sama dengan laungan tahmid memuji Allah di atas segala nikmat kurniaan-Nya termasuk nikmat berhari raya.

2. Kemeriahan Aidiladha akan lebih terasa apabila umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji di Mekah bersama-sama menunaikan puasa sunat hari Arafah. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang.

3. Islam sentiasa mengawal setiap tindak-tanduk umatnya di mana setiap amalan yang dikerjakan hendaklah bertepatan dengan kehendak syarak dan akan diberi ganjaran pahala termasuklah juga perkara-perkara yang harus.

Friday, September 12, 2014

Haji Dapat Membersihkan Segala Dosa

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya:” Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda,: Sesiapa yang mengerjakan haji, kemudian tidak mengerjakan dosa dan maksiat, nescaya ia bersih dari dosa-dosa sepertimana ia baru dilahirkan oleh ibunya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith:

1. Allah S.W.T telah memfardhukan ibadat haji pada tahun kesembilan hijrah.

2. Orang yang mengerjakan haji dengan ikhlas dan sempurna serta menjauhi diri daripada melakukan maksiat dan dosa, nescaya ia bersih dari segala dosa sepertimana ia baru dilahirkan.

3. Ibadat haji merupakan amalan suci yang menguji kekuatan iman seseorang hamba kerana ia berkait rapat dengan pengorbanan harta benda, tenaga, nyawa dan sebagainya.

4. Umat Islam yang mengerjakan ibadat haji hendaklah mengerjakannya dengan penuh ikhlas kerana Allah S.W.T di samping berdoa agar haji yang dilakukan itu diterima oleh Allah S.W.T.

Thursday, September 4, 2014

Kewajiban Menunaikan Ibadat Haji

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah kepada kami semua serta bersabda:” Wahai manusia sesungguhnya Allah S.W.T. mewajibkan ke atas kamu ibadat haji. Maka hendaklah kamu semua mengerjakannya. Tiba-tiba seorang lelaki bertanya, adakah wajib ditunaikan setiap tahun ya Rasulullah?. Baginda hanya berdiam diri sahaja, tidak menjawab pertanyaan lelaki itu, sehingga lelaki itu bertanya tiga kali, Rasulullah S.A.W. bersabda, jika aku menjawab ya, ibadat haji akan menjadi wajib pada setiap tahun, tentu kamu semua tidak terdaya mengerjakannya. Seterusnya baginda bersabda, janganlah bertanya lagi kepadaku tentang perkara ini, apa sahaja yang aku tidak menyebutnya maka tinggalkan sahaja. Sesungguhnya orang yang sebelum kamu itu menjadi rosak disebabkan terlalu banyak mengemukakan pertanyaan mereka, kemudian mereka menyalahkan Nabi-Nabi mereka. Oleh yang demikian apabila aku memerintahkan kepada kamu semua dengan sesuatu perkara, lakukanlah dengan bersungguh-sungguh mengikut kemampuan kamu. Sebaliknya jika aku melarang kamu semua dari melakukan sesuatu perkara itu hendaklah kamu tinggalkan”. (H.R Muslim)

Huraian Hadith:

1. Ibadat Haji adalah merupakan rukun Islam yang kelima. Maka adalah menjadi kewajiban kepada semua umat Islam untuk mengerjakannya, jika sudah memenuhi dan mencukupi semua syarat-syaratnya.

2. Allah S.W.T sekali-kali tidak memberatkan hambanya di dalam mengerjakan ibadat yang wajib ataupun sunat kerana setiap hukum yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan juga hadith adalah berdasarkan kemampuan seseorang hamba itu sendiri.

3. Islam melarang kita mempersoalkan perkara-perkara yang telah ditetapkan oleh syarak, seperti perkara yang wajib, sunat, makruh, harus, haram dan sebagainya kerana semakin banyak pertanyaan, akan menimbulkan kesusahan dan kesulitan sehingga kadangkala berlaku perselisihan akibat saling menyalahkan satu sama lain.

4. Islam mengajar umatnya supaya mentaati pemimpin-pemimpin mereka selagi mereka tidak menyuruh melakukan perkara-perkara maksiat serta melanggar perintah Allah S.W.T. dan Rasul-Nya.

Wednesday, August 27, 2014

Hikmah Sakratul Maut

Dari Aisyah r.a katanya: "Aku melihat Nabi S.A.W semasa Baginda hampir wafat dan disisinya sebuah bejana berisi air, dan Baginda memasukkan tangannya ke dalam bejana itu lalu menyapu mukanya, sesudah itu Baginda berdoa: "Ya Tuhanku! Berilah aku pertolongan terhadap penderitaan-penderitaan maut atau sakratul maut (yang sedang aku hadapi)". Riwayat Aisyah r.a


Huraian hadith:

1) Sakratul Maut adalah suatu penderitaan yang dialami oleh roh dan jasad dengan keadaan yang tertentu pada masa roh hendak meninggalkan jasad seseorang.

2) Ia (sakratul maut) akan tetap ditempuh oleh setiap manusia dengan berbagai-bagai cara sama ada dengan cara yang berat dan sukar atau yang mudah dan senang.

3) Menurut huraian para ulama', Allah S.W.T menjadikan nabi-nabi dan wali-wali-Nya menderita sukar menghadapi sakratul maut hanyalah untuk menambahkan ketinggian darjat mereka sedangkan bagi orang-orang Islam yang lain mengalami kesukaran sakratul maut adalah sebagai kaffarah (penghapus dosa) daripada kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan.

4) Berdasarkan hadith ini suatu kesimpulan dapat dibuat bahawa anggapan tentang beratnya ˜sakratul maut' itu menandakan kemurkaan Tuhan dan ringannya pula menandakan keredaan Tuhan adalah tidak benar. Malah ia sebenarnya bergantung pada kedudukan seseorang itu di sisi Allah S.W.T, bukan berdasarkan penilaian mata kasar dan mata hati manusia semata-mata.

Monday, August 18, 2014

Tiga Buah Masjid Yang Dituntut Beribadat Di Dalamnya

Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi S.A.W. sabdanya: Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Mekah), dan masjid Rasulullah S.A.W. (di Madinah) serta Masjid al-Aqsa (di Palestin)(H.R Bukhari)

Huraian Hadith:

1. Umat Islam dituntut berziarah untuk menunaikan ibadah (pengabdian kepada Tuhan) ke tempat berikut:

i. Masjidil Haram di Mekah
ii. Masjid Nabi di Madinah
iii. Masjidil al-Aqsa di Palestin.

melebihi daripada tempat-tempat lain di dunia ini kerana beribadah di ketiga-tiga tempat ini telah dijanjikan ganjaran pahala yang besar.

2. Diantara fadhilat-fadhilatnya ialah:

i. Kelebihan Masjidil haram ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat seratus ribu (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain dan di dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam.

ii. Kelebihan Masjid Nabawi pula ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat seribu (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, dan di dalamnya ada makam Nabi S.A.W dan sebagai sebuah taman dari taman-taman syurga.

iii. Kelebihan Masjid al-Aqsa pula ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat lima ratus (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, dan keistimewaannya ialah ia adalah merupakan masjid para Nabi yang terdahulu dan tempat Israk dan Mikrajnya Nabi S.A.W.